Bertarawih di Bulan Ramadhan merupakan acara yang membezakan Ramadhan daripada bulan-bulan yang lain. Pada waktu ini jemaah wanita akan memenuhi ruang solat. Tidak seperti hari-hari lain.
Apabila imam memulakan solat semua ahli jemaah merapatkan saf. Hal ini tidak nampak terlalu sukar bagi jemaah lelaki. mereka akan berbaris mengambil tempat seperti orang masuk perbarisan kawad.
Yang menjadi masalah ialah jemaah wanita. Sesetengah mereka seperti sudah 'menempah' untuk berada dilokasi tertentu tanpa mahu berganjak walau sedikit. Hati sedih melihat saf dibiarkan terputus tanpa ada yang sudi memenuhkannya. Pada waktu ini dihati kecil masing-masing mungkin berbisik, 'ruang tu sempit, nanti kalau aku masuk mesti tak selesa. Badan aku besar". Masih boleh dimaafkan..
Yang paling menyedihkan ialah bila ada jemaah wanita yang masuk sahaja ke dalam saf terus membentang lapik sujud masing-masing. Sehelai kain berjahit bersulam kemas atau sejadah mini dihampar di hadapan mereka. Cukup-cukup untuk ruang meletakkan muka sewaktu bersujud.
Yakin bahawa mereka akan kekal di lokasi itu, mereka seperti keberatan untuk berganjak bila ada keperluan merapatkan saf. Walaupun saf hadapan terbentang satu ruang kosong untuk dipenuhi, golongan ini tidak 'teringin' pun hendak berhijrah ke saf hadapan. Pastinya dengan alasan, "nanti kena tunduk, mengangkat lapik sujud yang telah siap terbentang dan kena bentang semula di lokasi yang baru. Lepas tu entah-entah kena berganjak lagi".
Bukankah lapik sujud berkenaan sudah menjadi penghalang dalam usaha memenuhkan saf? Ia seperti menyusahkan tuannya sendiri. Bukan itu sahaja malah saya yang sedang berdiri pun terasa 'susah' bila melihat rakan disebelah yang dua tiga kali tunduk dan bangun mengalihkan lapik sujudnya yang 'sudah jadi milik jemaah lain' bila saf berganjak.
Wahai jemaah wanita, apalah perlunya lapik sujud itu lagi bila karpet masjid sudah pun tebal, bersih dan selesa? Jangan terlalu taksub sehingga mengenepikan yang lebih afdhal. Mungkinkah helaian sejadah kecil itu menambah khusyuk di dalam solat? Saya lihat jemaah lelaki tiada pun yang membawa lapik sujud. Mereka berlenggang sahaja masuk ke saf dan dengan bebasnya bertukar tempat bila perlu.
Wahai jemaah wanita,
Tinggalkan sajalah lapik sujud itu di rumah dan gunakannya sewaktu solat bersendirian. Ruang masjid biasanya sudah sedia bersih, malah sesetengahnya berkarpet tebal. Sungguh selesa. Penuhkanlah saf hadapan dan jangan ada saf yang terputus.
Boleh jugalah kalau hendak sangat gunakan lapik sujud itu tetapi hanya anda bentangkan bila betul-betul yakin anda tidak berubah tempat lagi. Adakalanya memang kita terpaksa bersolat dilantai marmar yang keras dan sejuk. Tetapi pastikan anda utamakan susunan saf dahulu..
Mohon maaf andai saya tersalah.
No comments:
Post a Comment