Tuesday, November 18, 2014

Solatlah pada awal waktu

Sedikit pengalaman saya ingin kongsikan bersama rakan. Cerita saya semasa menunaikan haji 2014. Lagi empat hari menantikan hari wukuf. Mekah sudah sesak kerana jemaah dari semua penerbangan sudah tiba.
Pada hari itu saya berjanji untuk menelefon anak-anak di Malaysia. Kami aturkan temujanji pada pukul 3.00 petang kerana ia bersamaan pukul 8 malam di Malaysia. Waktu yang paling sesuai dan anak anak saya pun belum tidur.
Oleh kerana leka berbual, kami agak lewat memulakan perjalanan ke masjid untuk solat asar hari itu. (Masuknya waktu Asar ialah pada 3.30 petang. Kami memerlukan 20 minit untuk berjalan kaki dari hotel ke masjid). Sampai di masjid, keadaan sudah sesak. Laluan ke tempat kegemaran kami yang berhadapan Multazam di tingkat 1 telah pun ditutup. Lalu saya dan suami memutuskan untuk berpisah di situ dan bertemu semula ditempat yang dijanjikan sesudah solat. Kami pun
mencari saf masing masing.
Ruang sudah dipenuhi oleh jemaah. Saya ke kelompok jemaah wanita yang telah penuh dengan jemaah pelbagai bangsa dan warna kulit. Saya meninjau dengan 'muka kesian' memohon simpati agar dapat sedikit ruang untuk solat. Akhirnya saya terpandang seorang wanita Arab yang cantik. Dia seakan faham hasrat saya untuk menumpang saf disebelahnya, tetapi awal-awal lagi dia menggeleng kepala mengisyaratkan tiada ruang boleh dikongsikan. Saya faham, walaupun sejadahnya lebar tetapi badannya agak gempal. Dia mungkin khuatir nanti dia tidak selesa.
Seketika kemudian azan Asar pun berkumandang. Hati saya semakin cemas kerana saya belum dapat ruang solat sedangkan ketika itu saya sudah terperangkap di tengah tengah kelompok jemaah yang ramai. Semua jemaah duduk di sejadah masing-masing menunggu azan tamat. Saya sukar untuk keluar dan tidak juga dapat duduk.
Akhirnya ada sedikit ruangan kosong di bahagian hadapan. Betul-betul berdepan dengan saf wanita Arab yang cantik tadi. Namun agak mengecewakan kerana disitulah jemaah melonggokkan selipar mereka. Ada antara selipar itu yang berdebu dan tidak berbungkus. Ia bersebelahan dengan tiang.
Saya tiada pilihan. Sambil azan masih bergema, saya kais selipar-selipar itu untuk ruang saya solat. Ia bukanlah lantai yang rata, malahan ia merupakan dua anak tangga untuk ke ruang hadapan yang lebih tinggi paras lantainya. Kesimpulannya, saya akan solat di anak tangga yang penuh dengan selipar, ditepi sebuah tiang. Lebih malang lagi, kerana hendak cepat tadi, saya pula lupa membawa sejadah.
Azan selesai. Saya berdiri sambil meninjau lagi kalau ada ruang yang lebih baik. Seorang lagi jemaah lalu berhampiran dengan saya. Saya lihat wajahnya memohon saf daripada wanita arab cantik itu. Saya menunggu reaksi wanita Arab itu. Dalam hati berbisik, aku tadi minta saf dia tidak beri.. Bagaimana pula wanita ini?
Wanita Arab itu menggeleng sambil matanya memandang saya. Saya tahu dia menyedari apa yang ada dalam hati saya. Saya kasihan melihat jemaah yang senasib dengan saya itu. Dalam kesuntukan masa saya lihat wanita itu melangkah-langkah dicelah jemaah dengan susah payah untuk mencuba nasib di ruang lain. Saya amat faham perasaan yang dia lalui.
Saya tiba-tiba merasa sebak. Apalagi  bila terpandang kembali ruang di celahan selipar yang bakal saya sujud kelak. Ia hanya  memuatkan muka dan tangan saya sahaja. Kaki dan lutut saya nanti pula akan berada di anak tangga.
Sambil memandang wanita Arab itu, dengan senyum yang tawar, terkeluar kata-kata dari mulut saya.
"here in Masjidilharam sometimes we have to beg for a space. Just to see God." Saya menyambung lagi dalam bahasa Inggeris, (translated): " Saya pun tadi jadi pengemis juga. Syukurlah saya dapat juga tempat. Tapi.. " airmata saya mula bergenang. "Lihatlah tempat saya.." Saya tak mampu lagi terus berkata-kata.
Tiba tiba seorang jemaah yang berhampiran menyampuk. "itulah.. awak sebenarnya cuma lewat sikit saja. Sebelum tadi masih banyak tempat".
Mendengar saja ucapannya saya terus menangis kuat. Tiada lagi rasa malu ketika itu. Saya sebenarnya terusik dengan perkataan 'Lewat'. Dalam fikiran saya penuh penyesalan. Ada banyak lintasan datang dalam hati saya.
Oleh kerana saya dalam keadaan berdiri di anak tangga dan sebahagian besar jemaah lain duduk (kebanyakannya baru selesai solat sunat qabliyah), maka saya kelihatan jadi tumpuan. Seperti di atas pentas dengan jemaah itu selaku penontonnya.
Wanita Arab tadi datang dengan rasa bersalah lalu memeluk saya yang sedang menangis. "I am sorry.. bukan saya taknak beri ruang, tapi saya pun tak cukup."
Perbualan kami didengari oleh semua orang kerana jemaah hanya beberapa ketika saja lagi akan memulakan solat.
Sambil mengesat air mata saya mengeluarkan apa yang terbuku di dada tanpa segan silu. "Saya bukan marahkan kamu. I just missed my hometown. In my country, I got a lot of spaces, I can pray wherever I want, we have a lot of mosques.
Tapi di sana saya tidak hargai ruang yang Allah beri. Saya selalu lewatkan solat dengan sengaja. Allah tidak pernah menghina saya atau membalasnya serta merta. Tapi di sini, disebabkan lewat sedikit saja saya terpaksa terima hukuman, lihat sajalah ruang solat saya. Saya rasa terhina di hadapan Tuhan".
Kami kelihatan seperti pelakon drama. Semua jemaah lain yang faham bahasa Inggeris menunjukkan muka yang sayu. Jemaah yang tidak faham kelihatan bertanya- tanya rakan di sebelah.
Seorang jemaah lain  menyampuk, "Where is your hometown?"
"I am from Malaysia. It's a beautiful Muslim country". Saya berhenti menangis dan cuba menenangkan diri.
"When I got back to Malaysia, I dont want to pray late anymore. I dont want Allah to embarrase me in Mahsyar". Saya berikrar.
Wanita Arab tadi terus  memegang tangan saya sambil berkata "Terima kasih, hari ini saya belajar sesuatu dari kamu. Allah menegur hambanya dengan pelbagai cara. Saya pun akan hargai ruang dan masa yang saya ada bila saya balik nanti. Semoga kamu mendapat haji yang mabrur".
Bilal pun qamat, imam pun memberi isyarat memulakan solat. Saya kembali ke ruang saya tadi dan berusaha menyesuaikan diri. Tiba tiba dari barisan belakang, kedengaran suara jemaah lain memanggil. "Hajjah, here is space for you".
Rupa rupanya mereka tadi memahami dan berganjak-ganjak sehingga terhasil satu ruang yang cukup-cukup untuk saiz badan saya. I feel blessed.
Saya solat sambil menangis. Itulah solat yang paling bermakna saya rasakan dalam hidup saya.
Seusai solat fardhu dan solat jenazah, jemaah pun mula bersurai. Tanpa disangka beberapa jemaah lain yang tidak dikenali datang memeluk saya dan berkata, "Thank you Hajjah, haji mabrur inshaallah".

Kembali ke post tentang Panduan Haji 





Sunday, November 16, 2014

Pisang montel - Lintasan hati di Tanah Haram

Sebahagian pengalaman yang saya alami di Mekah. Benarlah kata orang, setiap lintasan hati akan menjadi kenyataan. Tidak kira sama ada ia baik atau buruk.
Saya memang penggemar pisang dan semua produk makanan hasilan pisang. Di Malaysia, kerepek dan kuih berasaskan pisang pasti menjadi keutamaan. Hinggakan makan bubur kacang pun saya akan masukkan hirisan pisang ke dalamnya.
Di Mekah, saya dan suami berjalan kaki dari Hotel kami ke Masjidilharam sejauh 800m. Pada hari itu merupakan zohor yang pertama kerana kami tiba pada pukul 10 malam tadi.
Sepanjang laluan kami, ada banyak jualan dan kedai-kedai di tepi jalan. Ada lori kecil yang diberhentikan ditepi jalan menjual tembikai. Tembikai di sana bentuknya lonjong. Tidak bulat seperti di Malaysia. "Khamsa riyal, lima riyal..". Silih berganti bahasanya. Maklumlah, yang melintasinya banyak jemaah melayu. Para peniaga kebanyakannya tahu berbahasa melayu. Paling tidak pun beberapa perkataan asas untuk berniaga. "mari lihat..murah murah".
Saya terpandang pisang montel digantung bergayutan di sebuah kedai. Selera tiba tiba teringinkan pisang itu. Dalam hati berkata, "nanti dululah. Kalau beli sekarang takkan nak dibawa pisang ke masjid pula".
Di dalam masjid perut terasa lapar. Solat tidak sekhusyuk yang diharapkan kerana terkenangkan pisang montel. Saya menyimpan cita-cita untuk singgah membelinya dalam perjalanan balik dari masjid nanti.
Selesai waktu zohor, jemaah berpusu pusu keluar dari masjid. Cuaca sangat panas, skrin tv besar diluar masjid memaparkan suhu mencecah 45 darjah celcius.
Dalam perjalanan pulang saya terpandang lagi pisang montel. Hasrat untuk membelinya sebenarnya tidak saya suarakan pada suami. Jadi suami saya berjalan dengan langkah yang laju. Menonong-nonong tanpa menoleh ke kiri kanan. Tiada sedikit pun tanda tanda dia berminat untuk meninjau jualan di tepi jalan itu. Saya tahu disamping cuaca yang panas, perutnya juga lapar.
Oleh kerana ramai jemaah berurusan di kedai itu, hiruk pikuk mereka membantutkan niat saya untuk mengajak suami singgah dan membeli.
Setiba di hotel makan tengahari telah pun diedarkan. Semua jemaah haji Muasasah di Tanah suci dibekalkan makan tengahari dan makan malam yang siap di pek. Makan tengahari akan disertakan buah buahan. Saya membuka pintu bilik dan terdengar riuh rendah teman teman sebilik menikmati makanan tengahari. "Shidah, tu ambil nasik you. You sorang ja lagi yang belum makan." Pelawa rakan sebilikku yang majoritinya dari utara tanah air.
Teruja ingin tahu menu makan tengahari pertama hari itu, saya menyertai mereka. Terpandang saja buah buahannya, Subhanallah.. Pisang montel...!


Kembali ke post tentang Panduan Haji





Tumpahnya air Yasin - Lintasan hati di Masjidilharam

Peristiwa berlaku sebelum hari wukuf. Kami di maktab 90 dimaklumkan oleh ustazah petugas Tabung Haji bahawa ada seorang jemaah wanita dari maktab kami yang telah koma dan kini dirawat di hospital. Solat hajat dan bacaan yasin diadakan untuk memohon kesembuhan beliau kerana hari wukuf semakin hampir.
Selesai solat hajat, jemaah memulakan bacaan yasin. Jemaah yang ada membawa air minuman di dalam botol, masing masing membuka penutup botol dan meletakkannya di hadapan ribaan mereka. Tidak ketinggalan juga saya dan rakan jemaah di sebelah menyebelah.
Jemaah wanita di sebelah saya hanya membiarkan sahaja botol airnya tegak tanpa dipegang. Saya disebelahnya memandang botol tersebut dengan rasa ngeri dan penuh kerisauan. Dalam suasana jemaah yang duduk rapat-rapat, jarak antara saf juga pendek, kemungkinan untuk botol itu tumpah dek singgulan lutut atau siku jemaah di sekelilingnya amatlah besar.
Hati saya tidak tenteram. Bacaan saya tidak khusyuk kerana risaukan botol tersebut. Dalam kepala saya sudah terbayang tumpahan air itu yang bergenang di sejadah kami. "habis la.. Basah la nanti carpet ni. Sejadah aku pun pasti kena juga". Bisik hatiku yang membara risaukan botol air itu.
Tak boleh jadi. Jemaah pemilik botol air di sebelah kanan saya ini mesti diingatkan. Saya mesti bertindak. "err..kakak boleh tolong pegang tak botol air tu. Saya risau takut nanti tumpah ". Kakak di sebelah saya itu buat tidak tahu saja. Dia seperti tidak risau langsung. Tambah membaralah hati saya bila melihat dia meneruskan saja bacaannya.
Ok, sekarang saya akan praktikkan kepimpinan melalui teladan pula. Botol air saya yang di tangan kiri saya alihkan ke tangan kanan. Kini botol air saya betul betul bersebelahan dengan botol airnya. Saya pegang botol air saya dengan niat untuk menayang-nayangkannya pada kakak itu. Tak ubah seperti pelawak Mr Bean yang mengumpan perhatian orang yang hendak dikenakannya.
Kali ini kakak itu faham. Dia mengikut langkah saya memegang botol. Saya berasa lega. Botol air saya kini saya alihkan semula ke tangan kiri. Tangan kanan saya memegang naskah yasin. Saya rasa selamat sekarang. Bacaan diteruskan seperti biasa.
Allah maha berkuasa. Tanpa disedari saya terlelap. Naskah yasin terlepas dari tangan dan saya terjaga sambil cuba menyambar kembali naskah tersebut. Serentak itu juga kedengaran suara latahan kakak itu, "Allahu akbar, Allahu akbar" sambil dia mengimbangi botol di tangannya.
Lutut saya terasa basah dan sejuk. Air bergenangan membasahi sejadah saya. Disebabkan lantai yang lereng, air yang tumpah itu membasahi ruang saya lebih dari ruang di bahagian kakak di sebelah. Dia terselamat. Botol air masih mantap di tangannya walaupun isinya hilang lima puluh peratus. Botol air saya masih juga di tangan tetapi airnya juga sudah tinggal separuh.
Ia berlaku sama seperti yang saya bayangkan. Saya merasa insaf. Sesungguh bukan kita yang menentukan nasib dan takdir sesuatu perkara. Apa yang terjadi tidak semestinya seperti kebiasaan. Ia boleh diubah jika Allah mengkehendaki. Akhirnya air itu tumpah juga walaupun dipegang. Dan yang lebih menginsafkan, saya sendiri yang menjadi penyebab air itu tumpah, bukannya kakak itu. Saya sudah menyimpan sangkaan buruk dari awal tadi dan akhirnya saya yang terima padahnya.


Kembali ke post tentang Panduan Haji



Harta bukanlah milik mutlak kita

Lagi cerita saya di Masjidil Haram. Ini pula kisah barang kesayangan saya iaitu jam tangan. Saya seorang yang tidak suka memakai barang kemas. Cincin dan gelang di tangan bagi saya menjadi bebanan tambahan untuk saya jaga dan ianya merimaskan.
Satu-satunya barang berharga yang saya pakai ialah jam tangan. Ia bagi saya satu keperluan untuk saya mengetahui masa. Jam tangan ini pemberian suami saya sejak tahun 2006. Bererti usianya sudah lapan tahun. Ia selesa dipakai dan sangat banyak berjasa. Di Mekah saya pakai jam ini terus menerus. Saya tidak menanggalkannya walaupun semasa mandi. Saya risau akan tertinggal atau terlupa.
Satu hari saya membaca al quran di Masjidilharam. Selesai setiap muka surat, saya menyelak muka berikutnya. Entah kenapa hari itu saya menggunakan tangan kiri untuk menyelak Alquran. Maka serentak dengan itu terpandanglah saya akan jam di tangan kiri saya.
Terdetik di hati saya, "cantiknya jam aku.. Cantik sungguh jam aku ini. Memang sesuai ia di tangan aku. Walaupun sudah lapan tahun usianya, warnanya tidak pernah luntur. Walaupun pakai hari-hari, ia kelihatan seperti baru". Saya memuji-muji sambil membelek belek jam itu.
"Apa kata aku tangkap gambarnya..". Sedetik itu juga saya mengambil handphone dari dalam beg. Bacaan Alquran tadi terbantut seketika. Saya meluruskan pergelangan tangan memperagakan jam. Klik.. Gambar jam tangan dirakam. Berlatar belakangkan sejadah dan muka surat Alquran yang terbuka. Hati terasa puas.
Esoknya saya dan suami melaksanakan umrah sunat. Biasanya kami tawaf di platform bertingkat. Oleh kerana hari itu kami agak letih, Saya mengajak suami tawaf di dataran sahaja. Biarpun jemaahnya sesak, namun lingkarannya lebih pendek dan lebih hampir dengan kaabah.
Selesai solat sunat tawaf kami bergerak ke tempat saei pula. Tiba tiba saya terasa tangan kiri saya lapang dan ringan. Bila saya belek, rupa rupanya jam tangan saya sudah tiada. Sah.. Ia telah tertanggal dan jatuh semasa tawaf. Kali terakhir saya menyemak waktu ialah sejurus sebelum kami mula tawaf tadi.
Saya memaklumkan pada suami, "abang, jam saya hilang masa tawaf tadi..". Suami saya membalas, " kenapa pakai masa tawaf..? Kan dah tahu situ orang ramai. Hmm.. Jangan harap la nak dapat balik. Redha jelah "
Serta merta saya terkenang kembali peristiwa semalam. Baru semalam saja saya mengkagumi jam itu dan saya tangkap gambarnya. Selama bertahun tahun tidak pernah saya buat begitu. Allah beri peluang terakhir rupanya untuk saya mengabadikan gambarnya.
Sesungguhnya apa saja yang kita miliki, biarpun kita sangat menyayanginya, ia bukanlah hak milik mutlak kita. Itu hanyalah nikmat pinjaman sementara. Allah boleh mengambilnya kembali bila bila masa. Nikmat harus disyukuri, bukan dikagumi, apa lagi diperagakan untuk tujuan berlagak.
Kembali ke post tentang Panduan Haji


Baca kisah Solatlah pada awal waktu

Monday, May 19, 2014

Bonsai beginner

Baru nak start berjinak dengan bonsai making, walau pun minat dah lama.
Sebab bonsai ni mahal. Sepokok kenit pun sampai ratus ratus..
Aku rakam momen penting ni iaitu tarikh mula aku beli dan bentuk asal pokok itu.
Lihat dan tunggulah nanti akan aku peragakannya progress keindahannya dari semasa ke semasa.
Chewah..
aku cakap besar gini pun sampai rm20 ke?
Orang kedai tu cakap pokok ni mahal sebab ubi dia besar.
aku cakap owhh...i see.
Ini pun yang basic sangat, belum shape apa pun. pasu dia pun yang plastic chokia je..
sikit hari lagi aku pindahkanlah ke pasu yang cantik tu. 
biar bonsai tu tunjukkan dulu keanggunannya. 


kat bawah ni pokok bunga kertas yang dah pernah togel, tapi sempat diselamatkan sebelum ia kojol.
akhirnya mekar semula, aku bubuh baja, siram dan letak kat panas. sikit hari lagi keluarlah bunga.



Ini pulak bonsai sedia ada yang aku repair. nak kena letak baja lagi biar daun dia lebat. 
dah 6 tahun dah usia si kembar ni.
 seusia rumah ni.

Pokok yang kat atas sekali tu, nampak tak aku dah mula shapekannya..

Tuesday, April 29, 2014

Thursday, April 17, 2014

Luqman dan pertandingan bercerita

16 April 2014 pukul 2 petang di Sk Methodist Ho Seng Ong, Taman Canning, Ipoh.
Pertandingan bercerita zon 6. 12 buah sekolah bertanding untuk tahap satu dan tahap dua.
Bila Nama Luqman diumumkan sebagai Johan, ramai yang menyaksikan terutama guru guru. Itulah seronoknya bila  sekolah sendiri jadi tuan rumah. Kimi bangga bila peminat fanatik dia turut bersorak. Hehe..
Goodluck Kimi untuk peringkat daerah nanti.

Tuesday, March 25, 2014

Luqman dan pertandingan hafazan 2014

Mula mula masuk peringkat Zon di Sk Tasek.
Lepas tu peringkat daerah Kinta Utara di Sk Marian Convent.

Friday, March 21, 2014

Pengasuh Kimi dan Faris datang visit

Petang ni semasa kami baru saja sampai dari sekolah, dalam pukul 7 lebih. Tiba tiba atuk datang panggil ibu turun. Katanya ada orang nak jumpa.

Rupanya Kak Mah yang dulu jagakan Kimi dan Faris masa ibu pergi kerja.
Kimi masa tu umur dua tahun setengah. Faris umur lima enam bulan gitu..
Sebelum tu ibu hantar mereka ke taska tapi Kimi tak suka. Bila hantar pada Makcik Mah ni dia suka pulak.
Makcik Mah lembut orangnya.. Dia jaga Kimi dan Faris sangat bagus.

Tapi setahun je.. Lepas tu dia balik ke kampung dia di Kelantan.

Ini kali kedua lah Makcik Mah datang visit. Dia on the way ke KL hari ni.
Kebetulan pulak kami tinggal sementara di Taman Mewah ni sebab rumah belum selesai renovate lagi.
Memang rezeki nak jumpa.

Sunday, March 16, 2014

Saturday, February 22, 2014

Majlis Anugerah Kecemerlangan 2014

Hari ini hari gembira untuk kita sekeluarga. Sk Marian Convent dan Sk Methodist Ho Seng Ong mengadakan Hari Anugerah Kecemerlangan.

Ibu dan Kaklong hadir di Sk Marian menyaksikan si kembar menerima anugerah.

Ayah pulak hadir di Sk Ho Seng Ong menyaksikan Luqman dan Faris menerima Hadiah.

Pagi pagi lagi kami dah keluar sarapan. Nasuha je tak ikut sebab dia sakit kaki, latihan sukan. Dia tinggal dengan Kak Ika di rumah.

Pukul 12 tengahari baru selesai anugerah di SKMC. Dekat SKHSO pulak anugerahnya serentak dengan mesyuarat PIBG. Ayah lagi sekali kena lantik jadi Timbalan YDP PIBG.

Semua gembira. Harap nikmat ini akan berterusan untuk keluarga kita pada masa akan datang.

Thursday, February 13, 2014

My 39th birthday

Hari ini saya sudah berumur 39 tahun.
Lagi setahun saya akan mencecah usia kritikal.
Usia yang menentukan halatuju saya sama ada ke arah kebaikan atau sebaliknya.
Melihat cermin, muka pun dah banyak kedutan.
Kalau dulu muka bujur tirus, sekarang dah empat segi. Maknanya pipi pun dah turun.
Astaghfirullah.. Koleksi dosa pun dah banyak.. Sebanyak bilangan uban di kepala.
Takut mati sebelum bertaubat.