Selesai solat hajat, jemaah memulakan bacaan yasin. Jemaah yang ada membawa air minuman di dalam botol, masing masing membuka penutup botol dan meletakkannya di hadapan ribaan mereka. Tidak ketinggalan juga saya dan rakan jemaah di sebelah menyebelah.
Jemaah wanita di sebelah saya hanya membiarkan sahaja botol airnya tegak tanpa dipegang. Saya disebelahnya memandang botol tersebut dengan rasa ngeri dan penuh kerisauan. Dalam suasana jemaah yang duduk rapat-rapat, jarak antara saf juga pendek, kemungkinan untuk botol itu tumpah dek singgulan lutut atau siku jemaah di sekelilingnya amatlah besar.
Hati saya tidak tenteram. Bacaan saya tidak khusyuk kerana risaukan botol tersebut. Dalam kepala saya sudah terbayang tumpahan air itu yang bergenang di sejadah kami. "habis la.. Basah la nanti carpet ni. Sejadah aku pun pasti kena juga". Bisik hatiku yang membara risaukan botol air itu.
Tak boleh jadi. Jemaah pemilik botol air di sebelah kanan saya ini mesti diingatkan. Saya mesti bertindak. "err..kakak boleh tolong pegang tak botol air tu. Saya risau takut nanti tumpah ". Kakak di sebelah saya itu buat tidak tahu saja. Dia seperti tidak risau langsung. Tambah membaralah hati saya bila melihat dia meneruskan saja bacaannya.
Ok, sekarang saya akan praktikkan kepimpinan melalui teladan pula. Botol air saya yang di tangan kiri saya alihkan ke tangan kanan. Kini botol air saya betul betul bersebelahan dengan botol airnya. Saya pegang botol air saya dengan niat untuk menayang-nayangkannya pada kakak itu. Tak ubah seperti pelawak Mr Bean yang mengumpan perhatian orang yang hendak dikenakannya.
Kali ini kakak itu faham. Dia mengikut langkah saya memegang botol. Saya berasa lega. Botol air saya kini saya alihkan semula ke tangan kiri. Tangan kanan saya memegang naskah yasin. Saya rasa selamat sekarang. Bacaan diteruskan seperti biasa.
Allah maha berkuasa. Tanpa disedari saya terlelap. Naskah yasin terlepas dari tangan dan saya terjaga sambil cuba menyambar kembali naskah tersebut. Serentak itu juga kedengaran suara latahan kakak itu, "Allahu akbar, Allahu akbar" sambil dia mengimbangi botol di tangannya.
Lutut saya terasa basah dan sejuk. Air bergenangan membasahi sejadah saya. Disebabkan lantai yang lereng, air yang tumpah itu membasahi ruang saya lebih dari ruang di bahagian kakak di sebelah. Dia terselamat. Botol air masih mantap di tangannya walaupun isinya hilang lima puluh peratus. Botol air saya masih juga di tangan tetapi airnya juga sudah tinggal separuh.
Ia berlaku sama seperti yang saya bayangkan. Saya merasa insaf. Sesungguh bukan kita yang menentukan nasib dan takdir sesuatu perkara. Apa yang terjadi tidak semestinya seperti kebiasaan. Ia boleh diubah jika Allah mengkehendaki. Akhirnya air itu tumpah juga walaupun dipegang. Dan yang lebih menginsafkan, saya sendiri yang menjadi penyebab air itu tumpah, bukannya kakak itu. Saya sudah menyimpan sangkaan buruk dari awal tadi dan akhirnya saya yang terima padahnya.
Kembali ke post tentang Panduan Haji
No comments:
Post a Comment