Sunday, November 16, 2014

Pisang montel - Lintasan hati di Tanah Haram

Sebahagian pengalaman yang saya alami di Mekah. Benarlah kata orang, setiap lintasan hati akan menjadi kenyataan. Tidak kira sama ada ia baik atau buruk.
Saya memang penggemar pisang dan semua produk makanan hasilan pisang. Di Malaysia, kerepek dan kuih berasaskan pisang pasti menjadi keutamaan. Hinggakan makan bubur kacang pun saya akan masukkan hirisan pisang ke dalamnya.
Di Mekah, saya dan suami berjalan kaki dari Hotel kami ke Masjidilharam sejauh 800m. Pada hari itu merupakan zohor yang pertama kerana kami tiba pada pukul 10 malam tadi.
Sepanjang laluan kami, ada banyak jualan dan kedai-kedai di tepi jalan. Ada lori kecil yang diberhentikan ditepi jalan menjual tembikai. Tembikai di sana bentuknya lonjong. Tidak bulat seperti di Malaysia. "Khamsa riyal, lima riyal..". Silih berganti bahasanya. Maklumlah, yang melintasinya banyak jemaah melayu. Para peniaga kebanyakannya tahu berbahasa melayu. Paling tidak pun beberapa perkataan asas untuk berniaga. "mari lihat..murah murah".
Saya terpandang pisang montel digantung bergayutan di sebuah kedai. Selera tiba tiba teringinkan pisang itu. Dalam hati berkata, "nanti dululah. Kalau beli sekarang takkan nak dibawa pisang ke masjid pula".
Di dalam masjid perut terasa lapar. Solat tidak sekhusyuk yang diharapkan kerana terkenangkan pisang montel. Saya menyimpan cita-cita untuk singgah membelinya dalam perjalanan balik dari masjid nanti.
Selesai waktu zohor, jemaah berpusu pusu keluar dari masjid. Cuaca sangat panas, skrin tv besar diluar masjid memaparkan suhu mencecah 45 darjah celcius.
Dalam perjalanan pulang saya terpandang lagi pisang montel. Hasrat untuk membelinya sebenarnya tidak saya suarakan pada suami. Jadi suami saya berjalan dengan langkah yang laju. Menonong-nonong tanpa menoleh ke kiri kanan. Tiada sedikit pun tanda tanda dia berminat untuk meninjau jualan di tepi jalan itu. Saya tahu disamping cuaca yang panas, perutnya juga lapar.
Oleh kerana ramai jemaah berurusan di kedai itu, hiruk pikuk mereka membantutkan niat saya untuk mengajak suami singgah dan membeli.
Setiba di hotel makan tengahari telah pun diedarkan. Semua jemaah haji Muasasah di Tanah suci dibekalkan makan tengahari dan makan malam yang siap di pek. Makan tengahari akan disertakan buah buahan. Saya membuka pintu bilik dan terdengar riuh rendah teman teman sebilik menikmati makanan tengahari. "Shidah, tu ambil nasik you. You sorang ja lagi yang belum makan." Pelawa rakan sebilikku yang majoritinya dari utara tanah air.
Teruja ingin tahu menu makan tengahari pertama hari itu, saya menyertai mereka. Terpandang saja buah buahannya, Subhanallah.. Pisang montel...!


Kembali ke post tentang Panduan Haji





No comments:

Post a Comment