Satu-satunya barang berharga yang saya pakai ialah jam tangan. Ia bagi saya satu keperluan untuk saya mengetahui masa. Jam tangan ini pemberian suami saya sejak tahun 2006. Bererti usianya sudah lapan tahun. Ia selesa dipakai dan sangat banyak berjasa. Di Mekah saya pakai jam ini terus menerus. Saya tidak menanggalkannya walaupun semasa mandi. Saya risau akan tertinggal atau terlupa.
Satu hari saya membaca al quran di Masjidilharam. Selesai setiap muka surat, saya menyelak muka berikutnya. Entah kenapa hari itu saya menggunakan tangan kiri untuk menyelak Alquran. Maka serentak dengan itu terpandanglah saya akan jam di tangan kiri saya.
Terdetik di hati saya, "cantiknya jam aku.. Cantik sungguh jam aku ini. Memang sesuai ia di tangan aku. Walaupun sudah lapan tahun usianya, warnanya tidak pernah luntur. Walaupun pakai hari-hari, ia kelihatan seperti baru". Saya memuji-muji sambil membelek belek jam itu.
"Apa kata aku tangkap gambarnya..". Sedetik itu juga saya mengambil handphone dari dalam beg. Bacaan Alquran tadi terbantut seketika. Saya meluruskan pergelangan tangan memperagakan jam. Klik.. Gambar jam tangan dirakam. Berlatar belakangkan sejadah dan muka surat Alquran yang terbuka. Hati terasa puas.
Esoknya saya dan suami melaksanakan umrah sunat. Biasanya kami tawaf di platform bertingkat. Oleh kerana hari itu kami agak letih, Saya mengajak suami tawaf di dataran sahaja. Biarpun jemaahnya sesak, namun lingkarannya lebih pendek dan lebih hampir dengan kaabah.
Selesai solat sunat tawaf kami bergerak ke tempat saei pula. Tiba tiba saya terasa tangan kiri saya lapang dan ringan. Bila saya belek, rupa rupanya jam tangan saya sudah tiada. Sah.. Ia telah tertanggal dan jatuh semasa tawaf. Kali terakhir saya menyemak waktu ialah sejurus sebelum kami mula tawaf tadi.
Saya memaklumkan pada suami, "abang, jam saya hilang masa tawaf tadi..". Suami saya membalas, " kenapa pakai masa tawaf..? Kan dah tahu situ orang ramai. Hmm.. Jangan harap la nak dapat balik. Redha jelah "
Serta merta saya terkenang kembali peristiwa semalam. Baru semalam saja saya mengkagumi jam itu dan saya tangkap gambarnya. Selama bertahun tahun tidak pernah saya buat begitu. Allah beri peluang terakhir rupanya untuk saya mengabadikan gambarnya.
Sesungguhnya apa saja yang kita miliki, biarpun kita sangat menyayanginya, ia bukanlah hak milik mutlak kita. Itu hanyalah nikmat pinjaman sementara. Allah boleh mengambilnya kembali bila bila masa. Nikmat harus disyukuri, bukan dikagumi, apa lagi diperagakan untuk tujuan berlagak.
Kembali ke post tentang Panduan Haji
Baca kisah Solatlah pada awal waktu
No comments:
Post a Comment