Friday, July 26, 2013

Usaha agar pelajarku membaca.

Pelajar di sekolah ibarat anak aku sendiri. Setiap orang daripada mereka aku pandang dengan rasa tanggungjawab. Setiap detik aku tak henti mendoakan yang terbaik untuk mereka.

Oleh kerana platform aku ialah pusat sumber, jadi aku tak pernah berhenti memikirkan kaedah yang terbaik untuk mengajak mereka membaca. Program Nilam yang aku perjuangkan setiap tahun sehingga melabelkan diriku sebagai guru nilam yang dipandang `boring` oleh pelajar.

Tahun ini aku mencuba lagi kaedah baru. Pendekatan aku kali ini menggunakan keratan majalah. 

Pemerhatian selama beberapa tahun menunjukkan yang pelajar langsung tidak berminat dengan buku. Terutama yang berbahasa Inggeris. Ini kerana buku memakan masa yang lama untuk dihabiskan. Pelajar juga keliru isi yang mana sesuai dijadikan sinopsis. Maka akhirnya jika mereka dipaksa merekod buku nilam, maka mereka menyalin saja sinopsis di belakang buku tanpa membaca bukunya.

Aku juga pernah menggunakan keratan akhbar. Rasionalnya keratan akhbar merupakan bahan yang termurah. Kalau hilang pun apalah nak dihairankan. Seluruh tenaga pengawas pusat sumber ku kerah menggunting keratan yang menarik. Aku sendiri memperuntuk masa setiap hari memilih artikel yang sesuai untuk dipotong dan dibuat koleksi. 
Namun akhirnya keratan akhbar juga dipandang sepi. Mungkin kerana kebanyakannya tidak berwarna dan dipenuhi teks dari font Times New Roman yang bersaiz kecil.

Aku juga pernah menyediakan bahan bacaan berwarna dari sumber internet. Tapi akhirnya aku sendiri yang tidak tahan dengan kos cetakan yang besar. Remuk juga hati bila melihat keratan dari internet itu dijadikan kapal terbang dan ditambah misai sana sini jika terdapat wajah manusia di dalamnya.

Suatu hari sewaktu aku mengasingkan majalah lama untuk dibuang, timbul perasaan tidak ingin membazir bila tepandang artikel yang maklumatnya sangat berguna. Di pusat sumber sekolahku, majalah juga dipandang sepi. Pelajarku hanya sukakan Majalah Mangga dan akhbar Harian Metro. Majalah yang rosak biasanya bukan kerana lunyai akibat dibaca. Sebaliknya semuanya mangsa vandalisme. Pelajar akan mengoyakkan mana mana gambar yang didapati relevan untuk ditampal dalam folio kerja kursus.

Mulai saat itu aku mula mengumpul keratan majalah. Sumbernya tidak semestinya datang dari majalah ilmiah sahaja. Habis kukerah agar sesiapa yang mempunyai majalah lama agar menghantarkannya ke pusat sumber untuk dipotong. Akhirnya aku mempunyai koleksi bahan bacaan dari keratan majalah dengan perbagai tema. 

Keratan inilah yang sekarang ini aku gunakan untuk pelajar  membuat aktiviti nilam. Sesuai sekali kerana ia pendek sahaja. Keratannya berwarna warni dan kualiti kertas juga lebih baik. Didalamnya padat dengan maklumat yang sudah disusun ringkas oleh penulis tetapi cukup untuk memberi ilmu baru kepada pembacanya. Dan lagi satu, ia tidak perlu dicetak dan kalau hilang pun aku halalkan sahaja.

Alhamdulillah, dengan sedikit elemen tambahan, pendekatan nilam kali ini menunjukkan peningkatan. Aku tidak lagi memaksa pelajar membeli dan membawa buku nilam kesana kemari. Sebaliknya aku sediakan untuk mereka helaian sinopsis. Helaian itu diisi dan dihantar serta merta selepas membaca. Dengan ini aku telah jimatkan satu lagi langkah memproses data nilam iaitu menyuruh guru lain memungut dan mengesahkan buku nilam. 


Bilangan bacaan diisi terus kedalam pangkalan data oleh pengawas pss yang bertugas.
Melalui cara ini aku dapat pastikan yang pelajarku benar-benar membaca dan memperoleh maklumatnya. Semoga satu keratan yang dibaca akan meninggalkan kesan dan menambah satu dua perbendaharaan kata mereka. Daripada tiada langsung...at least something is better than nothing.


No comments:

Post a Comment